VIllain Paintball - Ovi Store

Monday, June 09, 2008

Paintball in Utusan Malaysia

Paintball uji kelasakan
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN

PETALING JAYA 30 Mei - Sebut sahaja paintball, pasti kebanyakan warga kota tahu serba sedikit atau pernah mendengar mengenai permainan ini. Namun tentu masih ramai yang belum berpeluang untuk mencuba permainan yang serba lasak ini.

Sukan itu sebenarnya bukan sesuatu yang baru di negara ini, malah telah wujud sejak 15 tahun lalu. Tetapi ia semakin mendapat perhatian sejak akhir-akhir ini berikutan keunikan permainannya yang penuh strategi.


ASAK... Bijak mengatur strategi dan keberanian merupakan dua elemen penting dalam permainan paintball.(Chip Nizam & Pari of Armada)

Kini, sukan ini menjadi satu pilihan utama di kalangan sesetengah warga kota untuk mengisi masa lapang pada hujung minggu dan hari cuti umum.

Tinjauan Utusan Malaysia di Akademi Paintball Malaysia di sini baru-baru ini mendapati, orang ramai memang teruja dengan aktiviti sukan lasak tersebut dan sanggup menghabiskan ribuan ringgit dalam memburu kepuasan.

Walaupun sukan paintball boleh dikatakan agak mahal, malah lebih mahal daripada kos bermain golf atau tenis, namun permainan ini menjanjikan kepuasan tersendiri yang tidak boleh diperoleh daripada sukan-sukan lain.

Menurut Pengarah akademi tersebut, Mohd. Sofian Mohd. Daud, 33, ketajaman fikiran serta kepantasan membuat strategi dan bertindak merupakan ciri penting dalam sukan penuh mencabar ini.

"Dua elemen ini yang menyebabkan sukan paintball cukup popular dan pasti ramai jatuh cinta apabila sudah mencubanya.

"Semangat kerjasama dalam satu pasukan dan berdisiplin mematuhi strategi berpasukan ialah aspek positif yang dapat diterapkan,'' katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mengulas cara permainan paintball, beliau memberitahu, ia tidaklah sesukar mana kerana apa yang penting ialah peserta mestilah tahu mengendalikan senjata dengan betul.

"Untuk itu, kami di sini ada menyediakan klinik selama satu jam yang akan dikendalikan pengadil dan jurulatih berpengalaman dalam sukan paintball sebelum peserta dibenarkan bermain.

"Di sini, kami menyediakan sukan paintball berformat 'Speed Paintball' yang dimainkan di dalam kawasan lapang berjaring dengan keluasan 54.54 meter panjang dan 30.3 meter lebar,'' katanya.

Tambahnya, satu lagi format sukan paintball ialah 'Recreational Paintball' tetapi ia tidak ditawarkan di akademi itu.

Katanya, selepas sesi klinik itu, satu pasukan akan dibentuk yang terdiri daripada lima orang dan akan menentang pasukan lain dalam masa lima minit bagi setiap satu pusingan.

Beliau berkata, bagi yang datang seorang diri atau kekurangan ahli pasukan, mereka tidak perlu risau kerana pihaknya boleh membantu membentuk pasukan yang lengkap dari kalangan mereka yang datang ke situ untuk bermain paintball.

"Peraturan permainan paintball cukup mudah kerana pemenang akan dikira dengan pasukan mana yang terlebih dahulu 'menawan' bendera yang diletakkan di kawasan pihak lawan,'' katanya.

Jika bendera gagal ditawan selepas lima minit, mata akan dikira berdasarkan kriteria-kriteria tertentu seperti bilangan ahli pasukan yang masih 'hidup'.

Pengalaman Utusan Malaysia yang turut mencuba permainan ini merasakan satu kepuasan yang sukar digambarkan kerana ia ternyata menguji kekuatan mental dan fizikal.

Mungkin masa diambil untuk satu pusingan agak pendek kerana sekadar lima minit namun apabila berada di dalam gelanggang pertarungan, debaran yang dirasakan sepanjang waktu itu seumpama lima jam.

Selain itu, kesabaran serta skil mengatur strategi bakal menjadi pertaruhan dalam menentukan kemenangan permainan paintball.

Bagi warga kota yang ingin mencuba sukan ini, bayaran sebanyak RM120 dikenakan dan mereka akan dibekalkan dengan 400 butir peluru atau dinamakan paint marker untuk setiap seorang.

Selagi peluru tidak habis, selagi itulah orang ramai boleh terus bermain sepuas hati tanpa terhad.

Orang ramai juga tidak perlu risau dengan keselamatan kerana mereka akan diberikan peralatan keselamatan manakala pelurunya pula tidak akan membawa kecederaan dan warnanya mudah dicuci.

Kepada yang mahu bergiat dengan lebih serius di dalam sukan paintball, hanya RM250 sahaja diperlukan untuk mendaftarkan pasukan mereka untuk bertarung dalam pertandingan yang menggunakan format liga.

Jika anda ada kelapangan pada hujung minggu ini, cuba uji diri anda dengan permainan lasak ini dan merasai sendiri keseronokannya.

Source: Utusan Online

0 comments: