VIllain Paintball - Ovi Store

Thursday, July 10, 2008

MY-NPL Melaka - Press Release



Pusingan Keempat Kejohanan Liga Paintball Kebangsaan Malaysia (MY-NPL) 2008 akan berlangsung pada 2 dan 3 Ogos 2008 bertempat di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka. Kejohanan paintball yang terulung dan terunggul di Malaysia kini yang menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik dari seluruh pelusuk tanahair, mendapat sokongan sepenuhnya Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka (JBSNM).

Hadiah-hadiah bernilai berjumlah RM38,250.00 ditawarkan kepada para pemenang dalam empat (4) divisyen yang dipertandingkan di dalam setiap lima (5) pusingan MY-NPL di samping hadiah juara keseluruhan untuk setiap Divisyen berjumlah RM36,000.00 menjadi rebutan di akhir tahun ini yang seterusnya akan dinobatkan sebagai Juara Malaysia. Adalah dijangkakan kejohanan kali ini akan menarik penyertaan lebih daripada 60 buah pasukan dalam semua divisyen dari seluruh pelusuk tanahair.

Pusingan Ketiga MY-NPL telah diadakan pada 31 Mei dan 1 Jun yang lalu bertempat di Akademi Paintball Malaysia (MAPAAC), Kompleks Sukan Astaka, Petaling Jaya, Selangor dimana sebanyak 43 buah pasukan telah turut serta. Di dalam Divisyen 1, Pasukan NEMESIS LEGION, meneruskan tradisi kecemerlangan mereka tahun ini, dengan muncul sebagai juara menewaskan Pasukan DEMONZ di perlawanan akhir. Pasukan MACDEV RONIN di tempat ketiga dan Pasukan BANZAAI, untuk pertama kalinya tahun ini berada di podium di tempat keempat.

Kejayaan Pasukan NEMESIS menebus kekalahan mereka kepada Pasukan DEMONZ dalam Pusingan Kedua Kuantan yang lepas telah mengukuhkan kedudukan mereka selaku pendahulu dalam pungutan mata keseluruhan MY-NPL 2008, dengan mengumpul mata terkini sebanyak 142. Tertinggal 28 mata di tempat kedua adalah Pasukan MACDEV RONIN, DELTAROVERS di tempat ketiga mengumpul sebanyak 111 mata. Apakah Pasukan NEMESIS akan terus mengungguli singgahsana Divisyen 1 di Melaka kelak dalam usaha untuk merangkul gelaran Juara Keseluruhan 2008….sama-sama kita nantikan, dan sudah pasti pasukan-pasukan lain akan berusaha untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam perebutan takhta Divisyen 1 2008.

Di dalam Divsyen 2 pula, Pasukan NOMERCY telah memecah penguasaan Pasukan BALLBUSTERS dalam dua pusingan awal terdahulu dengan muncul sebagai juara untuk Pusingan Ketiga menewaskan Pasukan RONIN LEGION dalam perlawanan akhir. Pasukan BALLBUSTERS hanya sekadar menduduki tempat keempat setelah tewas di tangan Pasukan TITANZ dalam persaingan menentukan tempat ketiga dan keempat. Kejayaan Pasukan NOMERCY ini telah membolehkan mereka mendahului Pasukan BALLBUSTERS dalam pungutan mata keseluruhan Divisyen 2, mengumpul sebanyak 142 mata, sementara BALLBUSTERS 140 mata. Pasukan RONIN LEGION terus mengekori rapat dengan 132 mata dan Pusingan Keempat di Melaka kelak sudah pasti akan lebih hangat, terutama persaingan ketiga-tiga pasukan dalam merebut mahkota Juara Keseluruhan Divisyen 2.

Di dalam Divisyen 3 Pusingan Ketiga yang lepas, Pasukan SUNSHIRO terus mengorak langkah cemerlang dengan muncul sebagai juara untuk kali kedua berturut-turut sepanjang tahun 2008 ini, menewaskan Pasukan RONIN LUNACY dalam perlawanan akhir. Pasukan COBRA MERCENARIES terus memastikan saingan mantap mereka dalam perebutan takhta Juara Keseluruhan Divisyen 3 dengan memenangi tempat ketiga setelah menewaskan wakil dari Negeri Johor Darul Takzim, Pasukan RAZ LEGION. Hanya 2 mata memisahkan antara Pasukan SUNSHIRO, yang mengumpul 134 mata, di tempat pertama dalam pungutan mata keseluruhan dengan Pasukan COBRA MERCENARIES, yang mengumpul sebanyak 132 mata. Pasukan OSCAR LEGIO-X dan RAZ LEGION berkongsi tempat ketiga dengan mata terkumpul 116 mata dan RONIN LUNACY ditempat kelima dengan 115 mata. Sudah pastinya kelima-lima pasukan ini akan berada di Melaka untuk Pusingan Keempat ini untuk memastikan persaingan hebat dalam Divisyen 3.

Di dalam Divisyen 4, kemunculan sulung Pasukan dari Pulau Mutiara Pulau Pinang, REVOLUXION, dalam perlawanan akhir perlu diberi perhatian sekalipun tewas di tangan Pasukan ROMEOZ, yang telah menunjukkan peningkatan yang ketara, selepas hanya sekadar di tempat ketiga dalam persaingan Pusingan Kedua Kuantan yang lepas. Pasukan SRC KARANGKRAF SINAR HARIAN pula hanya sekadar di tempat ketiga menewaskan sebuah lagi pasukan baru juga dari Pulau Mutiara, Pasukan INFINITY. Apakah pasukan-pasukan tempatan dari Melaka di Pusingan Keempat kelak akan dapat menggegar kewujudan pasukan-pasukan dari Lembah Kelang ataupun langkah kecemerlangan pasukan-pasukan dari Pulau Pinang akan terus mewarnai tangga podium MY-NPL 2008…sama-sama kita nantikan.

Kemeriahan kejohanan akan bermula pada hari Jumaat, 1 Ogos 2008 bermula jam 3.00 petang dimana para peserta akan mula menjalani proses pemeriksaan gelanggang yang dikenali dengan “WALK THE FILEDS”. Pada masa yang sama Klinik Sukan Paintball untuk pasukan-pasukan dalam Divisyen 4 akan turut diadakan yang akan dikendalikan oleh para jurulatih dari Akademi Paintball Malaysia (MAPAAC). Mesyuarat Ketua-ketua Pasukan akan diadakan pada sebelah malam bermula jam 8.00 malam hari yang sama bertempat di venue kejohanan. Kejohanan akan bermula pada hari Sabtu jam 8.00 pagi, yang akan menyaksikan persaingan pasukan-pasukan dalam Divisyen 1 dan 2 membuka tirai kehangatan kejohanan didalam Pusingan Awal sehingga jam 12.00 tengahari sebelum pasukan-pasukan Divisyen 3 dan 4 meneruskan atucara pada hari Sabtu dengan perlawanan-perlawanan peringkat awal mereka sehingga petang.

Sejurus selepas tamat persaingan Pusingan Awal DIvisyen 1 dan 2 di hari kedua kejohanan, yakni Ahad, 27 April 2008, perlawanan-perlawanan Pusingan Kalahmati Peringkat Suku Akhir dan seterusnya akan diadakan. Perlawanan Akhir akan untuk semua Divisyen dijangkakan akan bermula pada jam 5.00 petang. Untuk kejohanan kali ini, kesudian pihak Dataran Pahlawan Melaka Megamall untuk menjadi tuanrumah venue sudah pasti akan menjadikan kejohanan kali ini lebih berprestij dan kemeriahannya akan pasti dikongsi bersama dengan para peminat sekitar Negeri Melaka khususnya dan selatan tanahair amnya.

Pendaftaran pasukan masih lagi dibuka sehingga Hari Rabu 30 Julai sebelum jam 5.00 petang. Borang-borang penyertaan boleh didapati dengan memuat turun dari laman web www.my-npl.org ataupun dengan menghubungi talian Sekretariat MY-NPL pejabat 03 6277 7779 ataupun telefon bimbit 016 332 3370 / 016 332 3371 / 016 332 3372 / 016 332 3337 ataupun email info@my-npl.org. Kepada para peminat sukan paintball, datanglah beramai-ramai ke Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka pada Hari-hari Sabtu dan Ahad, 2 dan 3 Ogos bermula dari jam 8.00 pagi untuk menyaksikan perhimpunan pasukan-pasukan terbaik sukan paintball Malaysia dalam persaingan untuk menjadi JUARA MALAYSIA

MOHD SOFIAN BIN MOHD DAUD
Pengarah Kejohanan
Liga Paintball Kebangsaan Malaysia
016 332 3337 / email: piandaud@my-npl.org

Tournament flyer

0 comments: