VIllain Paintball - Ovi Store

Monday, March 23, 2009

MY-NPL Round 2, JB - Press Release


LIGA PAINTBALL KEBANGSAAN MALAYSIA 2009
PUSINGAN KEDUA PADA 28 & 29 MAC 2009

KENYATAAN AKHBAR

Kemeriahan dan kerancakan Liga Paintball Kebangsaan Malaysia (MY-NPL) 2009 akan diteruskan dengan penganjuran Pusingan Kedua yang akan berlangsung pada 28 dan 29 Mac 2009 bertempat di Padang Kolej 16 & 17, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. Ini adalah merupakan kali pertama Negeri Johor telah dipilih untuk menjadi tuanrumah, setelah MY-NPL memasuki tahun keempat pelaksanaannya.

Penganjuran kejohanan kali ini adalah dengan kerjasama UTM selaku host venue dan Persatuan Paintball Johor selaku penganjur bersama, selain daripada sokongan dari rakan-rakan korporat Akhbar Sinar Harian, Majalah Libur, Minuman Isotonik 100PLUS dan Radio Sinar FM.

Kejohanan yang menawarkan hadiah bernilai berjumlah lebih daripada RM45,000.00 ini, yang bersaing dalam empat (4) divisyen yang dipertandingkan, ini dijangkakan akan menarik penyertaan lebih daripada 70 buah pasukan dari seluruh tanahair dan rantau Asia Tenggara. Kejohanan juga akan mempertandingkan satu Divisyen Khas yakni Kejohanan Tertutup UTM yang melibatkan pasukan-pasukan di kalangan penuntut dan kakitangan UTM, yang dijangkakan akan bermula pada hari Khamis, 26 Mac 2009. Ini adalah sebahagian dari usaha-usaha berterusan MY-NPL dalam mempromosi dan membangunkan sukan ini dikalangan masyarakat umum.

Di dalam Divisyen 1, kejayaan Pasukan Deltarovers merangkul kejuaraan dalam Pusingan Pertama yang lepas akan menghangat persaingan dalam Pusingan Kedua kelak. Pasukan Zealous sudah pasti mahu menebus kekecewaan kekalahan mereka dalam perlawanan akhir yang sengit dalam Pusingan Pertama yang lalu, sementara Pasukan Nemesis Legion akan meneruskan pencarian rentak kemenangan mereka dalam usaha mempertahankan gelaran

Juara Keseluruhan Divisyen 1 yang mereka menangi pada tahun lalu. Pasukan Macdev Ronin akan juga mengintai peluang untuk menjulang kejuaraan sementara Pasukan Raz Legion, yang merupakan pasukan tuanrumah yang pertama yang bersaing dalam Divisyen 1 MY-NPL, sudah pasti tidak mahu mengalami aib dalam persaingan di Johor ini dihadapan sokongan padu peminat tempatan.

Persaingan pasukan-pasukan Wolverinez Sinar FM, Armada, MBPJ, KL Lockdown, Killerbeez dan Macdev Ballbusters tidak boleh diperkecilkan, malahan mereka mampu melakukan kejutan dalam perebutan juara Divisyen 1 Pusngan Kedua ini kelak.

Di dalam Divisyen 2, penguasaan pasukan-pasukan Negeri Johor dalam saingan Pusingan Pertama yang lepas sudah pasti akan membuatkan pasukan dari Lembah Klang terutamanya memperkemaskan persiapan mereka dalam menghadapi saingan Pusingan Kedua ini. Pasukan Johor Pirates yang membuat kejutan merangkul kejuaraan dalam pusingan pertama lepas sudah pasti ingin mengekalkan kejuaraan mereka dalam perebutan takhta Divisyen 2. Manakala Pasukan Nomercy, sebuah lagi pasukan dari Negeri Johor yang tewas dalam perlawanan akhir Pusingan Pertama 2009, sudah pasti tidak mahu kekecewaan dalam perebutan Juara Keseluruhan 2008 yang lalu berulang lagi.

Sementara pasukan-pasukan Oscar Legio-X dan CMX, yang menduduki tempat ketiga dan keempat Pusingan Pertama yang lepas, sudah pasti mahu membuktikan kejayaan mereka dinaikkan ke Divisyen 2 untuk tahun 2009 ini sebagai bukti peningkatan prestasi mereka dan mereka perlu disegani. Apakah Juara Keseluruhan Divisyen 3 2008, Pasukan Sunshiro, akan melakukan penampilan semula dalam saingan MY-NPL 2009 di saingan Pusingan Kedua ini kelak? Pasukan-pasukan Raiders, Outrecs, Assasins-X, Cobra Mercenaries, Warriors, Sinar X FM, Werdna Escort dan Ronin Exiles sudah pasti akan mengintai peluang untuk melakukan kejutan di Pusingan Kedua ini kelak.

Rekod penyertaan sebanyak 34 pasukan di dalam Divisyen 3 pada Pusingan Pertama yang lalu sudah pasti akan menjadi satu mercu tanda yang akan cuba dikekalkan atau diperbaharui dalam saingan Pusingan Kedua ini kelak. Sekali lagi, pasukan-pasukan tuanrumah dari Negeri Johor akan terus mewarnai cabaran dalam divisyen ini, didukungi oleh Pasukan OSB Pirates dan Roughnecks walaupun kejayaan kejuaraan Pusingan Pertama yang lepas di ungguli oleh pasukan CMX Buccaneers.

Sesungguhnya kejayaan dalam Pusingan Pertama ini akan menyuntik semangat juang tinggi pada CMX Buccaneers untuk terus mempertahankan kejuaraan mereka. Bagaimanapun saingan dari pasukan Firemen yang memenangi tempat keempat dalam Pusingan Pertama yang lepas tidak boleh diperkecilkan dan sudah pasti mereka ingin menjadi psukan yang disenangi. Pasukan-pasukan Forsaken, Raptor, Mat Malaya dan The Simpsons yang dikecewakan dalam saingan Sukuakhir Elite 8 pada Pusingan Pertama yang lepas sudah pasti akan memperkemaskan strategi mereka untuk memastikan saingan dalam Divisyen 3 akan terus terbuka luas.

Adalah dijangkakan saingan dalam Divisyen 4 akan dimonopoli oleh pasukan-pasukan tempatan dari Negeri Johor. Bagaimanapun, sudah pasti 4 pasukan terbaik dari Pusingan Pettama yang lalu yang diketuai oleh pasukan selaku juara Ying Yang, JS selaku Naib Juara dan pasukan-pasukan Alpha Marksman dan Infidelz tidak akan mahu ketinggalan memberikan saingan di Pusingan Kedua ini.

Kejohanan akan bermula dengan Walk The Field oleh semua pasukan serta Klinik Sukan Paintball untuk pasukan-pasukan Divisyen 4 bermula jam 3.00 petang pada Hari Jumaat, 27 Mac 2009, diikuti dengan Mesyuarat Ketua-ketua Pasukan pada jam 8.00 malam hari yang sama di venue kejohanan.

Pasukan-pasukan Divisyen 1 dan 4 akan memulakan perlawanan-perlawanan Peringkat Awal mereka bermula jam 8.00 pagi pada hari Sabtu, 28 Mac 2009 sementara Pasukan-pasukan Divisyen 2 dan 3 akan memulakan perlawanan-perlawanan Peringkat Awal pada sebelah petang bermula jam 1.30 tengahari. Semua perlawanan-perlawanan Peringkat Suku Akhir sehingga Akhir untuk semua divisyen akan berlangsung pada hari kedua kejohanan, Hari Ahad 29 Mac 2009. Upacara Penutup dan Penyampaian Hadiah pula akan bermula pada jam 4.30 petang.

Pendaftaran pasukan-pasukan untuk Pusingan Kedua ini telah dibuka. Borang-borang penyertaan boleh didapati dari laman web rasmi MY-NPL www.my-npl.org ataupun dengan menghubungi sekretariat kejohanan di talian 03 6277 7779 ataupun Sofian 016 332 3337 dan Cik Linda 016 332 3331 ataupun email di info@my-npl.org. Kepada para peminat sukan paintball di selatan tanahair, datanglah beramai-ramai ke Padang Kolej 16 & 17 UTM Skudai pada 28 dan 29 Mac ini untuk menyaksikan Kejohanan Liga Paintball Kebangsaan Malaysia Pusingan Kedua.

MOHD SOFIAN BIN MOHD DAUD
Pengarah Kejohanan
Liga Paintball Malaysia 2009
016 332 3337 / piandaud@my-npl.org

3 comments:

Khairul Anwar Bin Che Amran said...

kenyataan akhbar mana ni?

Caranthir said...

Haa.. this is very exclusive. Soon to be out in the local newspapers before JB event.

mohdhadi said...

hehehe... good work in promoting MY-NPL..