VIllain Paintball - Ovi Store

Tuesday, April 07, 2009

MY-NPL Round 2, JB - News Release



Tanggal 28 & 29 Mac yang lalu bertempat di Padang Kolej Keenambelas dan Ketujuhbelas, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor Darul Takzim telah berlangsung Kejohanan Liga Paintball Malaysia (MY-NPL) 2009 Pusingan Kedua. Kejohanan Pusingan Kedua ini telah mencipta sejarah tersendiri dimana untuk pertama kalinya, kejohanan dilangsungkan di Gerbang Selatan negeri Johor Darul Takzim. Sebanyak 61 buah pasukan telah bertanding dalam keempat-empat Dvisyen dalam MY-NPL serta sebuah Divisyen Khas yang mempertandingkan pasukan-pasukan dari kalangan kakitangan dan penuntut Universit Teknologi Malaysia (UTM).

Kejohanan telah berlangsung dalam keadaan cuaca yang amat lembap, setelah hujan turun tanpa henti setiap hari di sekitar Skudai semenjak hampir seminggu sebelum kejohanan bermula. Pasukan-pasukan Divisyen 1, 4 dan Divisyen Khas telah membuka kancah pertandingan dalam Pusingan Awal pada hari Sabtu sebelah pagi sementara Pasukan-pasukan Divisyen 2 dan 3 pula membuka gelanggang di Pusingan Awal pada sebelah petang pada hari pertama kejohanan. Kemuncak pertandingan bermula pada hari Ahad dengan perlawanan-perlawanan peringkat suku akhir hingga ke akhir berlangsung.

Kancah persaingan di dalam Divisyen 1 telah menyaksikan sebanyak 9 pasukan telah turut serta. Kecemerlangan Pusingan ini telah menjadi milik Pasukan Nemesis Legion, yang merupakan Juara Keseluruhan Divisyen 1 tahun 2008, muncul sebagai juara untuk meraih hadiah bernilai RM7,000.00, setelah menyingkirkan Pasukan Macdev Ronin dalam perlawanan akhir. Pasukan Nemesis Legion telah mula menunjukkan keserasian dalam format baru kejohanan yang berupa format 7 orang sepasukan, dengan menyingkirkan kesemua lawan mereka dalam peringkat sukuakhir, separuh akhir dan akhir secara straight game. Pasukan Deltarovers diisytiharkan pemenang tempat ketiga setelah Pasukan Zealous gagal untuk menghadirkan diri dalam perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat. Keputusan ini telah mengukuhkan kedudukan Pasukan Deltarovers selaku pendahulu pungutan mata keseluruhan Divisyen 1 dengan 93 mata, Nemesis Legion di tempat kedua dengan 90 mata dan Pasukan Macdev Ronin di tempat ketiga dengan 89 mata.

Di dalam Divisyen 2 pula, sebanyak 10 pasukan yang bersaing merebut takhta juara termasuk penampilan sulung pasukan Terengganu Hunters yang memilih untuk bertanding dalam Divisyen 2 pada Pusingan Kedua ini di samping pasukan Rainforest 7 Tigers yang membuat penampilan semula setelah tidak bertanding dalam Pusingan Pertama yang lalu. Setelah tamat Pusingan Awal, Pasukan Warrior telah membuat kejutan dengan mendahului pungutan mata, meninggalkan pasukan Nomercy di tempat kedua dan CMX di tempat ketiga. Ternyata kecemerlangan ini diteruskan dalam peringkat kalah mati dimana Pasukan Warrior telah muncul juara untuk membawa pulang hadiah berjumlah RM5,000.00, menewaskan sebuah lagi pasukan dari Negeri Johor, Nomercy dalam perlawanan akhir. Pasukan Oscar Legio-X di tempat ketiga setelah menewaskan Pasukan Outrecs, yang membuat kejutan untuk layak ke peringkat ini dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat dalam satu pertarungan sengit yang berlanjutan hingga ke perlawanan penentuan yang ketiga. Kejayaan Pasukan Warrior ini sudah pasti akan menambahkan sengit persaingan perebutan Juara Keseluruhan Divisyen 2 dimana setelah tamat dua pusingan pungutan mata keseluruhan diungguli oleh Pasukan Nomercy dengan 92 mata, diikuti oleh Pasukan Oscar Legio-x dengan 86 mata ditempat kedua dan Pasukan Johor Pirates di tempat ketiga dengan 84 mata.

Sebanyak 19 pasukan telah turut serta dalam Divisyen 3, dimana di akhir saingan Pusingan Awal, tiga pasukan dari selatan tanahair telah menguasai tiga tempat teratas. Pasukan S2K di tempat pertama diikuti dengan Pasukan dari Singapura, Redsevens dan dari Johor, Pasukan D’Mercy Kidz di tempat ketiga. Bagaimanapun, diakhir persaingan Divisyen 3, kejuaraan adalah milik pasukan yang membuat kejutan pertama kali beraksi dalam peringkat akhir dan seterusnya memenangi persaingan mereka, iaitu Pasukan D’Halloween yang mengenepikan cabaran Juara Pusingan Pertama, pasukan CMX Buccaneeers dalam perlawanan akhir, untuk membawa pulang hadiah bernilai RM4,000.00. Persaingan di tempat ketiga dan keempat antara dua buah pasukan dari negeri Johor iaitu antara Pasukan S2K dan Roughnecks berakhir dengan Pasukan Roughnecks muncul pemenang. Keputusan ini telah mengukuhkan kedudukan Pasukan CMX Buccaneers dalam senarai pungutan mata keseluruhan Divisyen dengan 96 mata, meninggalkan Pasukan Roughneck di tempat kedua dengan 86 mata dan pasukan Raptor di tempat ketiga dengan 64 mata.

Sebanyak 15 pasukan telah bertanding dalam Divisyen 4, yang telah menyaksikan kejuaraan milik pasukan dari Negeri Melaka, Pasukan JS iaitu Naib Juara Pusingan Pertama, menewaskan Pasukan dari Singapura, Red Dynasty dalam perlawanan akhir. Pasukan Shoot In Rage muncul pemenang tempat ketiga setelah mengenepikan cabaran Pasukan Infidelz dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat. Sementara Pasukan Draxxus Lock Down dari UTM Kuala Lumpur telah muncul Juara Kejohanan Tertutup UTM (Divisyen Khas) setelah menewaskan sebuah lagi Pasukan dari UTM KL iaitu Pasukan Soul-Calibre. Pasukan Muskito dari UTM Skudai ditempat ketiga sementara itu sebuah lagi Pasukan dari UTM Skudai, Pasukan Unit Sukan 2 ditempat keempat.

Sudah pastinya persaingan para pasukan dalam Pusingan Ketiga MY-NPL yang dijadualkan berlangsung pada 20 dan 21 June ini bertempat di Padang Taman Gelora, Kuantan, Pahang akan bertambah sengit dalam perebutan meraih gelaran Juara Malaysia 2009 dalam setiap Divisyen yang dipertandingkan. Untuk makluman, Pendaftaran Pasukan untuk Pusingan Kedua telahpun bermula dan yang berminat boleh menghubungi sekretariat Kejohanan di talian 016 332 3337 ataupun email info@my-npl.org. Maklumat lanjut kejohanan boleh didapati dari laman web rasmi MY-NPL www.my-npl.org.

Sementara itu, Kejohanan Antarabangsa The International Super Seven Championship (ISSC) juga akan berlangsung pada 1 hingga 3 Mei di Dataran Petaling Jaya, Petaling Jaya, Selangor. Kejohanan yang menawarkan hadiah wangtunai berjumlah lebih daripada RM70,000.00 dijangkakan akan menarik penyertaan dari pasukan-pasukan dari rantau Asia Pasifik selain daripada pasukan-pasukan tempatan.

MOHD SOFIAN BIN MOHD DAUD

Pengarah Kejohanan
Liga Paintball Malaysia 2009

2 comments:

proPassion said...

Hi. We are proPassion Communications, a student consultancy of Taylor's College PJ. We will be having an event called "Mass Colympics 09": Extreme Without Limitations" on the 18th April 2009 at Xtion Paintball Park, Bukit Jalil. We will be having games such as Paintball, Street and Beach Futsal, Mini Amazing Race and many more. We were wondering if you could publish our news release on your blog. It is very much appreciated. Please do drop us your email address at http://propassion.blogspot.com so we can send you a copy of our press release.

Thank you for your time. We look forward to your reply.

JoAnne Clark
Marketing Executive
proPassion Communications

Caranthir said...

Sure JoAnne, you can email me the details.