VIllain Paintball - Ovi Store

Wednesday, June 24, 2009

Liga Paintball Kebangsaan Malaysia 2009 (MY-NPL) - Pusingan Ketiga


Pada 20 & 21 Jun yang lalu bertempat di Padang Taman Gelora, Kuantan, Pahang Darul Makmur telah berlangsung Kejohanan Liga Paintball Malaysia (MY-NPL) 2009 Pusingan Ketiga. Ini merupakan untuk tahun keempat berturut-tutur MY-NPL telah memilih Kuantan sebagai destinasi kejohanan di untuk sector pantai timur semenanjung. Sebanyak 60 buah pasukan telah bertanding dalam keempat-empat Dvisyen yang ditawarkan dalam MY-NPL.

Serentak dengan kejohanan, di venue yang sama, telah berlangsung Ekso Memperkasa Belia 2009 dimana acara-acara pameran oleh Jabatan dan Agensi Kerajaan Pusat dan Negeri, Pertandingan Siber Game dan Cabutan Bertuah telah diadakan untuk menarik minat para pengunjung, terutamanya golongan belia remaja, menyaksikan kejohanan ini.

Kejohanan telah berlangsung dalam keadaan cuaca yang baik sepanjang dua hari kejohanan berlangsung. Pasukan-pasukan Divisyen 2 dan 3 membuka kancah pertandingan dalam Pusingan Awal pada hari Sabtu sebelah pagi sementara Pasukan-pasukan Divisyen 1 dan 4 pula membuka gelanggang di Pusingan Awal pada sebelah petang pada hari pertama kejohanan. Kemuncak pertandingan bermula pada hari Ahad dengan perlawanan-perlawanan peringkat suku akhir hingga ke akhir berlangsung.

Yang Berhormat Dato’ Pang Tsu Ming, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Semambu, mewakili Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Haji Wan Adnan Bin Wan Mamat telah sudi hadir untuk merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah.

Kancah persaingan di dalam Divisyen 1 telah menyaksikan sebanyak 10 pasukan telah turut serta. Kecemerlangan Pusingan ini telah menjadi milik Pasukan Deltarovers, mengulangi kejayaan pada Pusingan Pertama yang lepas, untuk muncul sebagai juara untuk meraih hadiah bernilai RM7,000.00, setelah menyingkirkan Pasukan Raz Legion, yang membuat kejutan terbesar pertama kali beraksi dalam perlawanan akhir, setelah mengenepikan cabaran pasukan pilihan pertama dalam perlawanan separuh akhir, Pasukan Wolverinez Sinar FM. Pasukan Wolverinez Sinar FM terus kecewa dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan Keempat, tewas di tangan Pasukan Nemesis Legion. Kejayaan PAsukan Deltarovers telah mengukuhkan kedudukan mereka di tangga pertama dalam mata keseluruhan MY-NPL 2009 dengan 143 mata, 10 mata meninggalkan Juara Keseluruhan Divisyen 1 2008, Pasukan Nemesis Legion. Pasukan Macdev Ronin di tempat ketiga dengan mata keseluruhan terkumpul sebanyak 121 mata.

Saingan di dalam Divisyen 2 pula, sebanyak 11 pasukan yang bersaing yang menyaksikan penampilan sulung pasukan dari Malaysia Timur Labuan, pasukan The Fraternity serta penampilan semula Pasukan Sunshiro dalam kancah MY-NPL 2009. Setelah tamat Pusingan Awal, Pasukan Warrior telah mengungguli pungutan mata, meninggalkan pasukan Nomercy di tempat kedua dan Oscar Legio-X di tempat ketiga. Bagaiamanpun saingan di dalam Divisyen 2 telah dikuasai oleh 2 buah pasukan dari selatan tanahair, Johor Darul Takzim iaitu Pasukan Nomercy yang muncul sebagai juara untuk membawa pulang hadiah bernilai RM5,000.00 setelah menewaskan Pasukan Johor Pirates, juara Pusingan Pertama, di dalam perlawanan akhir.

Juara Pusingan Kedua, Warrior sekadar berpuashati di tempat ketiga setelah menewaskan Pasukan Oscar Legio-X di dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat. Kejayaan ini sungguh bererti buat Pasukan Nomercy setelah hanya berjaya muncul Naib Juara dalam persaingan dua pusingan terdahulu dan ia mengukuhkan kedudukan mereka untuk meraih Hadiah Juara Keseluruhan Divisyen 2 dengan mengumpul terkini sebanyak 142 mata, meninggalkan Pasukan Johor Pirates di tangga kedua dengan 130 mata dan Oscar Legio-X di tangga ketiga dengan 126 mata.

Sebanyak 20 pasukan telah turut serta dalam Divisyen 3, dimana di akhir saingan Pusingan Awal, Juara Pusingan Kedua, Pasukan D’Halloween gagah dipersada pungutan mata dengan memenangi kesemua 8 perlawanan peringkat awal mereka. Bagaimanapun, diakhir persaingan Divisyen 3, kejuaraan adalah milik pasukan yang membuat kejutan pertama kali beraksi dalam peringkat akhir dan seterusnya memenangi persaingan mereka, iaitu Pasukan Raptor yang mengenepikan cabaran sebuah lagi pasukan dari Negeri Johor, Pasukan Roughnecks dalam perlawanan akhir, untuk membawa pulang hadiah bernilai RM4,000.00.

Persaingan merebut tempat ketiga dan keempat diantara Pasukan D’Halloween dan sebuah lagi pasukan yang pertama kali berada dalam kelompok empat terbaik, Pasukan dari Negeri Kedah Darul Aman, iaitu Pasukan Votolocos nyata milik Pasukan Votolocos. Keputusan telah membuka luas saingan dalam pungutan mata keseluruhan dalam Divisyen 3, dengan Pasukan Roughnecks mendahului dengan 132 mata, CMX Buccaneers di tempat kedua dengan 120 mata dan Raptor di tempat ketiga dengan 114 mata.

Sebanyak 19 pasukan telah bertanding dalam Divisyen 4, yang telah menyaksikan kejuaraan sekali lagi milik pasukan dari Negeri Melaka, Pasukan JS yang merupakan Juara Pusingan Kedua, menewaskan Pasukan Ying Yang dalam perlawanan akhir. Pasukan Shoot In Rage muncul pemenang tempat ketiga setelah mengenepikan cabaran Pasukan BPMB Espada dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat. Juara Divisyen 3 dan 4 juga menerima hadiah sampingan berupa jersi sumbangan pengeluar tersohor barangan paintball, DYE PRECISION.

Sudah pastinya persaingan para pasukan dalam Pusingan Keempat MY-NPL 2009 yang dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 Ogos ini bertempat di Dataran Pahlawan Melaka Megamall akan bertambah sengit terutamanya dalam perebutan meraih gelaran Juara Malaysia 2009 dalam Divisyen 1,2 dan 3. Untuk makluman, Pendaftaran Pasukan untuk Pusingan Keempat telahpun bermula dan yang berminat boleh menghubungi sekretariat Kejohanan di talian 016 332 3337 ataupun email info@my-npl.org. Maklumat lanjut kejohanan boleh didapati dari laman web rasmi MY-NPL www.my-npl.org.

MOHD SOFIAN BIN MOHD DAUD
Pengarah Kejohanan
Liga Paintball Malaysia 2009
016 332 3337 / piandaud@my-npl.org

0 comments: