VIllain Paintball - Ovi Store

Tuesday, June 10, 2008

'Cuba dulu, baru tahu'



PETALING JAYA 30 Mei - Penggemar sukan paintball menolak anggapan bahawa sukan atau permainan lasak itu hanyalah untuk golongan tertentu sahaja.

Kata mereka, mungkin tidak ramai yang tidak tahu bahawa kebanyakan 'kaki' paintball terdiri daripada golongan pekerja berpendapatan sederhana.

Salah seorang penggemar sukan paintball yang ditemui, Mohd. Shaifulnizam Ahmad Wahiddin, 33, berkata, dia mula bermain paintball secara suka-suka pada 2005 apabila majikannya menganjurkan pertandingan sesama pekerja.

Namun, apabila telah mencubanya, dia telah 'jatuh cinta' dengan keunikan sukan paintball itu, lantas mengambil keputusan untuk terlibat secara serius.

"Mulai dari tarikh itu, saya telah mengumpul wang untuk membeli peralatan paintball yang lengkap senjata, peralatan keselamatan dan jersi bagi satu pasukan,'' katanya.

Dia mengakui sukan paintball akan menguji banyak aspek dalam diri seseorang terutama keberanian dan kebijaksanaan mengatur strategi.

"Semasa berada di dalam gelanggang, kita umpama berdepan hidup atau mati kerana satu kecuaian sahaja akan mengundang padah kepada pasukan,'' katanya.

Rakannya, K. Parimalam, 37, yang juga turut serius dalam sukan paintball berkata, sudah banyak pertandingan disertainya termasuklah Piala Terbuka Asia semenjak bergiat dalam sukan itu pada 2005.

"Sudah menjadi satu kemestian untuk bermain sekurang-kurangnya sekali seminggu, jika tidak, macam tidak sempurna masa yang dilalui dalam minggu tersebut,'' katanya.

Baginya, dia tidak kisah jumlah wang yang perlu dibelanjakan asalkan dia benar-benar puas bermain sukan paintball yang disukainya itu.

"Saya sendiri tidak pasti sudah berapa banyak wang yang habis tetapi skil serta kemahiran paintball saya sekarang semakin baik setiap hari,'' katanya.

Bagi Nurhana Ali, 29, yang baru pertama kali bermain sukan paintball, mengakui terasa amat teruja setelah diberi peluang untuk mencubanya.

"Akhirnya, setelah sekian lama menunggu, dapat juga peluang bermain paintball dengan mengikuti pertandingan dianjurkan oleh majikan saya pada hari ini,'' katanya.

Katanya, selepas ini, dia pasti akan bermain lagi kerana berpendapat sukan tersebut begitu mendebarkan dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan tekanan di tempat kerja.

Aura sukan paintball ini turut menjangkiti Edelia Hanni Roseli, 26, yang tidak menyangka permainan itu berbeza daripada apa yang dia fikirkan sebelum ini.

"Pertama kali saya fikirkan permainan ini macam membosankan tetapi setelah bermain sekali, memang puas kerana ia baik dalam membentuk semangat kesukanan sesama rakan,'' katanya.

Selain itu, dia merasakan segala aspek kepimpinan seseorang dapat diasuh semasa permainan berlangsung di samping ia merupakan satu bentuk aktiviti fizikal.

"Cubalah dulu, barulah tahu,'' pesannya ringkas kepada orang ramai yang masih belum pernah merasai pengalaman bermain sukan paintball.

Source: Utusan Online

Earlier article from the same source - Paintball in Utusan Malaysia

0 comments: