Nah, kasik lu glamer lagi. Hehehe...
----------------------------------
Lawak Azahari, Amat bertempat
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED dan AMIRUL ANNUAR ABIDIN:
Mengendalikan rancangan Bang Bang Boom (BBB) yang kini sudah pun memasuki musim ketiga, sesiapa sahaja yang menonton rancangan itu pasti terhibur dengan aksi mereka.
Mendapat jolokan sebagai The Joker, sememangnya kedua-dua mereka punyai gaya tersendiri dalam menyampaikan mesej lawak kepada penonton.
Bersiaran di TV3 pada setiap Jumaat, pukul 9.30 malam, apa yang membanggakan, hasil sentuhan dua anak muda itu, BBB kini mencatat rating yang tinggi iaitu lebih 1.9 juta orang penonton.
Begitulah penangan lawak yang ditonjolkan oleh Azahari dan Amat, biarpun di mata sesetengah orang, mereka tidaklah sekacak seperti pengacara program lain.
Sungguhpun begitu, Azahari dan Amat yang ditemui Hits pada sesi fotografi di Taman KLCC, petang Isnin lalu bukanlah individu yang sentiasa berlawak sepanjang masa.
Azahari yang membuka bicara memberitahu, meskipun digelar pelawak, mereka adakalanya serius terutamanya di tempat kerja.
“Amat bekerja di Petrosains manakala saya pula sebagai Perunding Acara di sebuah syarikat swasta. Kami tidaklah sentiasa berlawak. Hendak gila-gila pun bertempat juga.
“Di tempat kerja, ada masa kita buat lawak dan ada masa juga serius itu diperlukan,’’ katanya.
Jelas Azahari, menjadi pengacara BBB, dia dan Amat merasakan satu perubahan besar berlaku dalam hidup mereka.
“Ada yang takut hendak bertembung dengan kami. Kadang-kadang berhati-hati juga andai di tempat awam. Mana tahu, asyik mengenakan orang dalam Bang Bang Boom, satu hari nanti kami pula yang terkena,’’ jelasnya.
Katanya, BBB juga memberikannya satu kepuasan bekerja kerana melalui program itu, dia dapat menghiburkan orang lain.
Bagi Amat pula, sepanjang mengendalikan BBB, dia telah melalui pelbagai pengalaman yang banyak memberikannya pengajaran.
“Adakalanya, ia seperti mencabar kesabaran. Tapi saya dan Azahari tidak ambil kisah tentang itu semua terutamanya komen-komen yang meminta BBB dikendali oleh pengacara lain hanya kerana kami tidak kacak.
“Ada juga yang kata kami buat lawak bodoh. Melihatkan komen-komen itu, kami selamba sahaja dan berfikiran terbuka.
“Bukan semua orang boleh kami puaskan melalui lawak-lawak kami,’’ ujarnya sambil ketawa besar.
Azahari dan Amat mula rapat sejak di bangku sekolah lagi iaitu ketika mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Maluri, Kuala Lumpur.
Memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Maluri sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka juga bersama mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kualiti, Universiti Tun Abdul Razak (Unitar).
Selain BBB, mereka berdua pernah terlibat dalam filem pendek berjudul Burger Boy pada tahun lalu.
Tidak kisah digelar The Joker
Ketika menyertai Explorace: The Extreme Journey musim ketiga pada 2006, Amat dan Azahari sememangnya sudah digelar sebagai The Joker di kalangan peserta lain.
Mana tidaknya, sepanjang program itu berlangsung, mereka berdua cukup gila-gila, suka membuat lawak dan selalu sahaja melakukan tugasan dengan penuh keseronokan.
Sehingga ke hari ini, gelaran itu melekat pada diri mereka.
“Kami tidak kisah digelar sedemikian. Tidak rasa apa-apa pun. Malah, dengan gelaran itulah, kami semakin dikenali ramai,’’ jelas Azahari yang lahir pada 11 Disember 1983.
Giat aktif dalam sukan
Sibuk dengan kerja hakiki serta penggambaran BBB, Azahari dan Amat juga begitu aktif di bidang sukan.
Azahari contohnya bergiat dalam sukan paintball manakala Amat lebih cemerlang apabila mewakili negara pada perlawanan sulung hoki ais Sukan Asia Musim Sejuk di Changchun, China tahun lalu.
Mula serius dalam sukan masing-masing sejak 2006, Azahari dan Amat memperoleh pengajaran berguna tatkala bersukan.
“Melalui sukan, kita diajar semangat berpasukan dan semangat itu kita serapkan dalam budaya di tempat kerja.
“Dengan bersukan juga, saya dan Amat dapat mengisi masa lapang daripada melakukan perkara tidak berfaedah,’’ jelas Azahari yang bernaung di bawah Kelab Ball Buster, sebuah kelab yang berada di kedudukan divisyen dua Liga Paintball Kebangsaan Malaysia.
Menurut Amat pula, dia yang bertindak sebagai pemain pertahanan pasukan hoki ais negara mahu membuktikan bahawa dia juga mampu menaikkan nama Malaysia.
“Saya mungkin tidak boleh jadi angkasawan dan dengan itu, saya memasuki sukan hoki ais untuk negara. Latihan selalunya diadakan di gelanggang luncur ais, Sunway Pyramid pada sebelah malam dan ia tidak mengganggu kerja saya di Petrosains,’’ jelasnya.
Source: Utusan Online
BBB Info: Every Sunday, 11.00pm
Host: Azahari & Amat
----------------------
For the benefit of our non-malay speaking, let me translate the text.
Ehem...
The End