VIllain Paintball - Ovi Store

Monday, February 16, 2009

Cobra Mercenaries in Kosmo!

Note: Not sure when was this published, but if any of you do, please let me know.

Sanggup berhabis RM20,000

Oleh JULIA ISMAIL
julia.ismail@kosmo.com

Bersediakah anda berbelanja puluhan ribu ringgit semata-mata mahu merealisasikan hobi bagi mengisi masa senggang? Bagi sukan paintball, wang ringgit bukanlah ukuran.


APABILA menyebut tentang sukan ekstrem, pasti anda akan membayangkan aksi-aksi lasak yang bahaya. Selain itu, ramai juga beranggapan bahawa terdapat beberapa jenis sukan ekstrem hanya untuk golongan berada.

Apa tidaknya, kebanyakan sukan ekstrem memerlukan dedikasi dan disiplin yang tinggi serta kos yang besar.

Sukan paintball turut dikategorikan sebagai sukan ekstrem yang memerlukan modal yang agak besar.

Selain itu, sukan seperti BMX, papan selaju, in-line skating, luncur udara, payung terjun, 4x4 dan selam skuba turut menuntut kos yang tinggi.

Namun, bagi mereka yang menjadikan sukan itu sebagai sebahagian daripada kehidupan, wang ringgit yang dilabur bukanlah masalah kerana yang penting hobi itu dapat memberi kepuasan, selain cetusan adrenalin yang mengujakan.

Bagi kumpulan Cobra Mercenaries yang mempunyai 14 ahli, wang yang dibelanjakan untuk membeli peralatan tidak dapat menandingi keseronokan dan keghairahan mereka terhadap sukan paintball.


SUKAN paintball memerlukan semangat setiakawan yang tinggi.

"Ada di antara kami sanggup berhabis sehingga RM20,000 semata-mata mahu menyediakan kelengkapan dan peralatan berkualiti. Mungkin bagi segelintir orang, jumlah itu terlalu besar tetapi sebenarnya ia berbaloi kerana peralatan yang dibeli itu boleh digunakan untuk jangka masa yang panjang," kata Kapten Kumpulan, Faizan Safian, 29.

Faizan mengakui dia adalah antara mereka yang telah berbelanja hampir RM20,000 untuk membeli peralatan permainan paintball.

"Memang benar wang sebanyak RM20,000 itu agak besar. Saya sendiri pun tak sangka bahawa saya telah menghabiskan wang sebanyak itu," ujarnya.

Faizan bagaimanapun berkata, wang itu digunakannya untuk membeli peralatan permainan dan peralatan keselamatan yang penting bagi setiap pemain.

Kumpulan Cobra Mercenaries merupakan antara kumpulan yang aktif menyertai pertandingan paintball yang diadakan di seluruh negara. Oleh itu, katanya, memiliki kelengkapan sendiri adalah penting.

Antara kelengkapan yang diperlukan untuk bermain paintball ialah marker (senapang), topeng, harnest (tempat menyimpan peluru), pelindung siku dan lutut, beg dan palet (peluru).

Sebatang marker yang lengkap dengan tangki udara (tank), pengisi peluru (loader), barrel dan beberapa aksesori lain boleh mencecah harga sehingga RM7,000.

"Sebatang marker boleh digunakan untuk jangka masa yang panjang dan ia bukanlah sesuatu yang perlu dibeli dengan kerap.

"Cuma, pemain akan menukar marker yang baru mengikut kemampuan masing-masing. Marker yang berkualiti akan menambahkan prestasi pemain," kata Faizan.

Menurutnya, pemain akan berusaha untuk memiliki marker yang terbaik bagi meningkatkan daya saing masing-masing dalam setiap pertandingan yang mereka sertai.

"Dalam kumpulan kami, tidak semua ahli memiliki marker sendiri. Biasanya, ahli pasukan yang memiliki lebih daripada dua marker akan meminjamkannya kepada teman-teman lain.

"Ini menjadikan persahabatan dan hubungan di antara ahli kumpulan menjadi lebih rapat," katanya.

Ditanya apakah perbezaan peralatan yang disewakan di pusat-pusat latihan paintball, Faizan memberitahu, marker yang digunakan di sana adalah untuk amatur dan tidak berfungsi seperti marker yang digunakan oleh pemain profesional.

"Marker yang kami guna boleh menembak antara 15 hingga 30 palet dalam satu masa berbanding marker biasa iaitu satu palet pada satu petikan jari.

"Topeng yang disewakan di pusat-pusat paintball juga berbeza dengan topeng yang kami miliki dan harganya juga berbeza," katanya yang memberitahu, pasukannya selalu berlatih di Akademi Paintball Malaysia (MAPAAC) di Kompleks Sukan Astaka, Petaling Jaya, Selangor dua kali dalam sebulan.

Menurut salah seorang ahli kumpulan itu, Mohd. Irhzan Mohd. Nor, 35, jika sudah memiliki setiap peralatan, kos yang perlu dikeluarkan pada setiap kali sesi latihan hanyalah kos membeli palet dan sewa padang.

"Dahulu memang harga palet sangat mahal iaitu satu kotak yang mengandungi 2,000 palet berharga lebih RM700 dan bagi satu sesi latihan, setiap kumpulan memerlukan kira-kira empat kotak palet.

"Tetapi kini harga palet sudah murah, mungkin sebab semakin ramai menyertainya. Satu kotak palet kini berharga RM200," kata Mohd. Irhzan.

Menurutnya, permainan paintball umpama permainan golf yang satu ketika dahulu dikategorikan sebagai sukan kelas atasan.

"Jika dahulu golf dikatakan sukan kelas atasan kerana melibatkan kos yang tinggi tetapi kini sukan itu telah banyak diceburi oleh golongan pertengahan," katanya lagi.

Mengulas lanjut, katanya, selain daripada marker, topeng dan palet, ciri-ciri keselamatan juga perlu dititikberatkan.

"Barrel socks sangat penting kerana ia digunakan untuk menutup muncung marker supaya palet tidak tertembak secara tidak sengaja.

"Palet yang ditembak dari jarak jauh boleh menyebabkan badan pemain lebam. Bayangkan jika palet ditembak dari jarak dekat, kulit kita boleh terkoyak," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kejohanan Liga Paintball Kebangsaan Malaysia (MY-NPL), Mohd. Sofian Mohd. Daud yang juga Pengurus MAPAAC, berkata, sukan paintball tidak berbahaya dan jika pemain tercedera, ia hanyalah kecederaan biasa seperti terseliuh.

Katanya, MAPAAC menjadi pilihan pemain bukan sahaja di sekitar Kuala Lumpur malah ada juga yang datang dari Johor kerana terpikat dengan kemudahan yang disediakan di situ.


SEBATANG marker yang lengkap boleh mencecah harga RM8,000.

"Tak banyak tempat bermain paintball mempunyai kemudahan tangki udara. Para pemain perlu menggunakan udara mampat untuk marker masing-masing dan ada di antara mereka menggunakan cecair karbon dioksida.

"Keseluruhan sistem kompresor ini bernilai RM60,000 dan tidak banyak tempat latihan menyediakan kemudahan ini," katanya lagi.

Source: Kosmo! Online

4 comments:

badman said...

this is from today's Kosmo - 18th feb 2009

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0203&pub=Kosmo&sec=GenK&pg=gk_01.htm

Caranthir said...

So it seems. GENK section of KOSMO! doesn't get updated regularly compare to the main content.

badman said...

well, guess the cobra mercs guys would know exactly when it's published then...

Unknown said...

FYI...it was on the 3rd February issue of Kosmo.....