VIllain Paintball - Ovi Store

Monday, March 16, 2009

MY-NPL '09 Event 1 - Utusan Malaysia

Medan Tempur Paintball

Oleh ABD.HALIM HADI
rekreasi@utusan.com.my


PUSINGAN pertama Kejohanan Liga Paintball Malaysia (MY-NPL) 2009 yang berlangsung di Akademi Paintball Malaysia, Kompleks Sukan Astaka, Petaling Jaya, baru-baru ini membuktikan perkembangan pesat sukan itu di negara ini.

Selepas memasuki tahun keempat penganjuran, Liga Paintball Malaysia (NPL) yang menentukan pilihan pasukan terbaik negara kali ini menerima 85 penyertaan dari seluruh tanah air termasuk dari Singapura.

Pengarah Kejohanan NPL 2009, Mohd. Sofian Mohd. Daud berkata, berdasarkan persembahan membanggakan itu, pusingan kedua MY-NPL di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor pada 28 dan 29 Mac ini dijangka lebih sengit.

"Pusingan kedua itu merupakan pertandingan kali pertama yang diadakan di luar Wilayah Persekutuan sebagai penghargaan kepada perkembangan sukan paintball di selatan tanah air," katanya.

Menurut Mohd. Sofian, persembahan juga bakal menjadi kayu pengukur kepada setiap pasukan untuk menyertai kejohanan antarabangsa yang dijadualkan pada 1 hingga 3 Mei ini di Petaling Jaya, Selangor.

Kejohanan Super Seven Antarabangsa (ISSC) yang diadakan di Dataran Petaling Jaya itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah lebih| RM70,000 dan dijangka menarik penyertaan pasukan dari seluruh rantau Asia Pasifik.

Berikutan kejayaan pusingan pertama MY-NPL itu, beberapa petanda positif turut dilihat dalam transformasi dan pembangunan sukan itu di kalangan generasi muda di negara ini.

"Kematangan dalam pengurusan pertandingan membolehkan format tujuh orang sepasukan diperkenalkan buat kali pertama.

"Selain itu, penyertaan yang besar dari Johor menandakan sukan itu berkembang pesat di gerbang selatan," ujarnya.

Divisyen pertandingan

Penyertaan 85 pasukan dibahagikan kepada empat divisyen di mana pasukan daripada divisyen satu (D1) dan empat (D4) memulakan pertandingan pada sebelah pagi manakala pertandingan divisyen dua (D2) dan tiga (D3) pada sebelah petang.

Pertandingan dalam D1 melibatkan 11 pasukan termasuk penampilan kali pertama pasukan seperti KL Lockdown, Macdev Ballbusterz dan Raz Legion.

Pertempuran merebut gelaran juara divisyen dan hadiah wang tunai bernilai RM9,000 direbut sengit antara Deltarovers dengan Zealous.

Kemenangan berpihak kepada Deltarovers selepas berjaya menyingkirkan Zealous dalam permainan penentuan ketiga.

Tempat kedua dimenangi oleh Macdev Ronin selepas menumpaskan juara keseluruhan divisyen satu tahun lalu, Nemesis Legion.

Sementara itu, penampilan selepas dua tahun 'bertapa' oleh pasukan Johor Pirates dengan gaya persembahan menarik melayakkan mereka menjulang juara D2.

Dalam perlawanan itu, Johor Pirates berjaya mematikan strategi No Mercy dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000.

Sebanyak 12 pasukan berentap di dalam divisyen itu termasuk beberapa penyertaan sulung daripada Ronin Exiles, Warriors dan Werdna Escort.

Ternyata, saingan divisyen daripada pendatang baru ketika berdepan dengan pasukan CMX, Cobra Mercenaries dan Oscar Legio-X yang dinaikkan dari D3 ke D2 pada tahun lalu tidak kurang hebatnya.

Hadiah tempat ketiga dimenangi oleh Oscar Legio-X selepas menewaskan CMX melalui perlawanan penentuan sengit yang berlanjutan hingga ke pusingan ketiga. Saingan sekali gus membuktikan prestasi hebat pasukan-pasukan yang baru disenaraikan di dalam divisyen dua tahun ini.

Penyertaan di dalam divisyen tiga melalui penyertaan 34 pasukan merupakan pertemuan paling 'sesak' dalam perlawanan melibatkan pasukan dari Wilayah Persekutuan, Perlis, Kedah, Johor, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Singapura.

Langkah garang dimulakan dengan aksi pasukan dari Johor, OSB Pirates dan Singapura, Warfreakz pada pusingan awal dengan memenangi kesemua lapan perlawanan peringkat terdahulu.

Bagaimanapun, kemenangan menjadi milik pendatang baru dalam liga iaitu CMX Buccaneers selepas mengenepikan saingan OSB Pirates dalam perlawanan penentuan ketiga.

Juara membawa pulang hadiah bernilai RM4,000. Tempat ketiga disandang oleh pasukan dari Johor, Roughnecks selepas mengalahkan pasukan Fireman.

Sementara itu, baki 28 pasukan berentap di dalam D4 menyaksikan kemenangan berada di genggaman Yin Yang selepas menewaskan pasukan NS manakala tempat ketiga disandang oleh Apha Marksman.

Pendaftaran untuk pusingan kedua kini bermula dan mereka yang berminat boleh menghubungi Sekretariat MY-NPL di talian 016-332 3337 atau email kepada info@my-npl.org. Maklumat kejohanan juga boleh didapati dari laman web www.my-npl.org.

Source: Utusan

0 comments: